Geran khas perlu untuk mantapkan PKG

“Geran khas perlu untuk mantapkan Pusat Kegiatan Guru”
Ditulis oleh Berita Harian
Monday, 03 November 2008

_____________________________________________

BAHAGIAN Teknologi Pendidikan (BTP) memperuntukkan geran khas tahunan kepada institusi itu untuk menjalankan program inovatif pengajaran dan pembelajaran (P&P) termasuk projek Satu PKG Satu Produk.

Inisiatif itu secara tidak langsung berupaya meningkatkan koleksi serta kualiti bahan P&P BTP dan PKG serta memperluas penggunaannya di sekolah seluruh negara.

Cadangan itu antara kandungan resolusi konvensyen bertema ‘PKG Perkasa Generasi Bestari’ anjuran BTP selama tiga hari di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ketua Unit Penyelarasan BTP/BTP Negeri selaku Ketua Urus Setia Pengelola konvensyen berkenaan, Dr Suhaimi Kadir, berkata cadangan itu berdasarkan kekangan kekurangan peruntukan kewangan dihadapi PKG ketika ini hingga menjejaskan pelaksanaan program yang menjurus peningkatan P& P.

Katanya, peruntukan mencukupi juga dapat memastikan pengurusan dan pentadbiran sistem penyampaian lebih cekap bagi mengelakkan masalah seperti pemantauan sekolah tidak dapat dijalankan dengan sempurna, peralatan pejabat tidak mencukupi serta kerosakan bangunan dan kelewatan penyelenggaraan.

Selain itu, katanya, BTP juga dicadang mengkaji semula nisbah PKG dengan sekolah ahli berikutan ada yang mencecah 200 sekolah bagi satu PKG berbanding nisbah ideal satu PKG : 20 sekolah ahli.

“Dengan tiga pegawai saja di PKG, sudah tentu beban tugas mereka bertambah di samping tidak dapat memberikan perkhidmatan cekap kepada pelanggan. Pertambahan pegawai ini perlu diberi keutamaan berbanding pembinaan PKG baru kerana ia mengambil tempoh lebih singkat untuk diusahakan,” katanya.

Beliau berkata, resolusi itu turut mencadangkan peningkatan kemudahan fizikal dan prasarana termasuk menyegerakan pembinaan bangunan baru bagi PKG yang menumpang di bangunan sementara.

Sambil menyambut baik pembinaan 15 PKG baru, resolusi itu meminta ia diteruskan kepada baki 153 PKG yang masih menumpang di bilik kelas dan menimbulkan masalah seperti ruang menyimpan sempit serta tidak selamat, selain tidak dapat menampung jumlah peserta yang ramai.

Bagi memastikan pentadbiran lebih cekap, ia turut mencadangkan PKG dibekalkan dengan sistem aplikasi atas talian seperti e-pejabat/ e-pentadbiran bagi menjimatkan penggunaan kertas serta membolehkan maklumat dan data diperoleh dengan pantas.

online berita harian: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Pendidikan/20081103073135/Article/

No comments: